Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda adalah untuk memiliki rumah – akibat harganya yang semakin tinggi dan kurangnya pendapatan.
Dalam masa sama, terdapat juga mereka yang sebenarnya mampu untuk membeli rumah – tetapi sukar untuk mendapatkan pembiayaan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap. Mereka ini termasuklah para petani, pengusaha kecil, pekerja gig dan seumpamanya.
Prihatin dengan permasalahan ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 mengumumkan – pihak kerajaan akan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan.
Secara asasnya, skim ini diperkenalkan untuk menjamin pembiayaan perumahan bagi golongan yang tidak mempunyai bukti pendapatan bulanan yang tetap tanpa mengira jenis pekerjaan. Berikut adalah penerangan selanjutnya: –
Kriteria Kelayakan
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas;
- Berpendapatan tidak tetap seperti peniaga kecil, petani, pemandu teksi, nelayan dll atau berpendapatan tetap. Pinjaman bersama dibenarkan;
- Pembelian kali pertama rumah kediaman kos rendah / sederhana / mampu milik dan untuk didiami;
- Pembelian rumah kediaman baru/di dalam pembinaan atau sedia ada atau lelongan;
- Pendapatan purata kasar minima RM1,000 sebulan;
- Mesti bermastautin di dalam lingkungan 20km daripada cawangan institusi kewangan tempat permohonan dibuat;
- Pembayaran bulanan kesemua pinjaman < 65% daripada pendapatan kasar;
- Rekod tunggakan CCRIS < 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini;
- Tiada rekod-rekod negatif lain bagi tempoh 24 bulan terkini.
Terma dan Syarat Pembiayaan
- Jumlah Pembiayaan: Sehingga 100% daripada harga pembelian tertakluk kepada pembiayaan maksima RM300,000 (termasuk MRTA / MRTT)
- Jenis Pembiayaan: Pembiayaan Berjangka sahaja
- Tempoh Pembiayaan: Sehingga 35 tahun atau usia pemohon 65 tahun, mana-mana yang terdahulu
- Kadar Faedah: Kadar Pinjaman Asas (BLR) / Kadar Pembiayaan Asas (BFR) institusi-institusi kewangan yang menawarkan pinjaman
- MRTA/MRTT: Wajib
- Lain-lain: Deposit mandatori bersamaan dengan 3 bulan bayaran bulanan.
Cara Memohon
Bagi yang ingin memohon dan mendapatkan skim ini, proses permohonannya adalah seperti berikut:
- Mengenal pasti rumah yang ingin dibeli dan mendapatkan dokumen berkaitan seperti draf perjanjian jual beli / resit bayaran tempahan.
- Dapatkan surat pengesahan pendapatan daripada individu yang dibenarkan (Pegawai Kerajaan Kategori A, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu atau wakil yang terpilih). Surat itu hendaklah menyatakan nama, nombor kad pengenalan, sumber pendapatan, purata pendapatan bulanan, tempat perniagaan dan tempoh berniaga. Sila dapatkan dua surat berasingan sekiranya kedua-dua suami dan isteri mempunyai sumber pendapatan berasingan. Untuk kakitangan bergaji, sila bawakan penyata gaji dan penyata KWSP.
- Menyediakan dokumen sokongan sumber pendapatan seperti penyata akaun simpanan, Lesen Perniagaan, Kad Pendaftaran Nelayan atau rumah geran tanah (untuk aktiviti pertanian) atau lain-lain dokumen sokongan aktiviti jual beli.
- Sila bawa semua dokumen yang dinyatakan dan mohonlah pembiayaan perumahan di mana-mana cawangan institusi-institusi kewangan yang terdekat yang menyertai skim jaminan ini.
Dalam masa sama, apa yang diumumkan oleh kerajaan itu adalah di bawah Bajet 2022 dan akan berkuatkuasa bermula pada Januari tahun hadapan.
Bagi maklumat lanjut berkenaan skim ini, anda boleh menghubungi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) di talian: 03-2096 5000 atau e-mel: [email protected]
Maklumat lanjut, lengkap dan teperinci juga boleh dirujuk di laman rasmi SJKP – DI SINI.