Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Antaranya adalah bantuan-bantuan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Pihak Kerajaan juga telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan bantuan tambahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada rakyat Malaysia daripada kalangan berpendapatan rendah (B40). Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan tambahan itu: –
Sumbangan Asas Rahmah 2024
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup. Ia juga merupakan bantuan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memerlukan dan menepati syarat-syarat kelayakan.
Syarat-syarat kelayakan Sumbangan Asas Rahmah adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Bagi tahun 2024 ini, pelaksanaan SARA telah ditambahbaik dengan merangkumi:
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600; dan
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Dengan penambahbaikan tersebut, SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Kepada yang menepati syarat-syarat kelayakan, bantuan ini diberikan secara automatik tanpa melibatkan sebarang permohonan. Penerima yang layak juga akan dimaklumkan melalui pelbagai cara seperti surat pemakluman; Sistem Pesanan Ringkas (sms blast); semakan terus melalui portal rasmi atau hubungi LHDNM di talian 1-800-88-2747.
Kaedah Pembayaran
Untuk pengetahun semua, terdapat dua kaedah pembayaran SARA mengikut negeri penerima iaitu:
- Semenanjung Malaysia
- Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
- Sabah, Sarawak dan Labuan
- Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Penerima yang layak turut akan diberi penerangan mengenai kedai runcit terdekat untuk membeli barangan keperluan asas. Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Antara barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara membeli dengan MyKad
Kaedah pembelian barangan menggunakan MyKad yang dikreditkan SARA adalah seperti berikut:
- Pilih Barangan Keperluan: Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 13 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
- Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan: Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
- Imbas Kod Barangan Imbas Kod Barangan: Juruwang mengimbas setiap barang keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
- Bayar Menggunakan MyKad Bayar Menggunakan MyKad: Penerima bantuan memasukkan nombor pin 6-digit untuk mengesahkan transaksi pembelian.
- Simpan Resit Untuk Semakan Simpan Resit Untuk Semakan: Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Untuk maklumat lengkap berkenaan SARA ini, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI atau di Portal Rasmi STR (DI SINI).