Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri.
Antaranya adalah melalui bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Ia termasuklah dengan meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada rakyat Malaysia daripada kalangan B40 dan M40. Pihak Kerajaan juga memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada penerima penerima STR sedia ada yang menepati syarat-syarat khusus.
Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan ini: –
Sumbangan SARA RM1,200
Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang Malaysia paling terkesan dengan beban kos sara hidup. Bantuan ini yang dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari 2024 dan menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.
Bagi tahun 2024 ini, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan iaitu:
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600;
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Oleh itu, program SARA bagi tahun 2024 ini dijangkan akan memanfaatkan lebih 700 ribu penerima dengan peruntukan sebanyak RM700 juta berbanding tahun lepas iaitu seramai 210 ribu penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Syarat-syarat Kelayakan SARA
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan;
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Cara Pembayaran SARA
Untuk makluman, terdapat dua kaedah pembayaran SARA iaitu bagi penerima daripada Semenanjung Malaysia dan penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Berikut adalah penjelasannya:
Penerima daripada Semenanjung Malaysia
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Untuk setiap penerima yang layak, mereka akan diberi penerangan mengenai kedai runcit terdekat untuk membeli barangan keperluan asas. Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Barangan keperluan asas itu terdiri daripada 13 kategori produk yang diluluskan iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Untuk maklumat lengkap berkenaan SARA ini, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasig – DI SINI.