Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Antaranya adalah melalui bantuan-bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebelum ini.
Malah, Kerajaan juga telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan tunai ini: –
Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Pada asasnya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah sebuah program bantuan Kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup. Dengan hikmah penyasaran semula subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan, ia telah membolehkan Kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai
kepada rakyat melalui STR 2024.
STR juga adalah kesinambungan kepada bantuan-bantuan kewangan tunai sebelum ini seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan pelbagai lagi.
STR bagi tahun 2024 ini, akan diberikan kepada kategori penerima yang menepati syarat-syarat berikut:
- Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 21-59 tahun;
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas;
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa;
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
- Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat;
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
Maklumat tambahan, untuk individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas termasuk OKU berumur 19 tahun dan ke atas yang masih belajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta – mereka hanya dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam maklumat anak / tanggungan permohonan isi rumah dan tidak dibenarkan membuat permohonan sebagai individu bujang.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3
Berkenaan dengan pembayaran STR Fasa 3, ia dijadualkan pada bulan Ogos depan. Akan tetapi, berkenaan dengan jumlah pembayaran, ia masih belum dimaklumkan secara rasmi dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Berdasarkan jumlah pembayaran STR 2023 tahun lalu, pembayaran STR Fasa 3 ketika itu adalah antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Kaedah pembayaran pula adalah seperti sebelumnya iaitu secara kredit terus ke akaun penerima seperti mana maklumat bank di sistem STR. Bagi yang tidak mempunyai akaun bank atau berstatus gagal kredit, tuntutan tunai boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran.
JOM MASUK KE TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Dimaklumkan juga bahawa permohonan STR 2024 dibuka sepanjang tahun dan ia boleh dikemukakan secara atas talian (online) di Portal Rasmi STR. Kepada yang telah memohon sebelum ini dan menerima pembayaran STR pada tahun 2024 – permohonan baru tidak diperlukan dan jika ada sebarang perubahan maklumat, kemaskini boleh dibuat di portal sama.
Permohonan baru hanya perlu bagi mereka yang menepati situasi berikut:
- Pemohon yang tiada rekod dalam sistem STR 2024; serta
- Berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah; atau
- Berpendapatan RM2,500 dan ke bawah untuk individu bujang / tiada pasangan / tiada anak yang menepati syarat kelayakan.
Permohonan baru STR juga boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan STR (BK-01) yang boleh didapati secara percuma di Portal Rasmi STR atau Pejabat HASiL / Pejabat Satelit (PS) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) HASiL.
Maklumat lengkap berkenaan STR boleh dirujuk di Portal Rasminya – DI SINI.