Tidak terhenti dengan kes peniaga burger dan colek yang dikampaun sebanyak RM50,000 baru-baru ini, seorang peniaga kedai runcit di Kota Bharu turut dikenakan tindakan sama atas kesalahan melanggar SOP Covid-19.
Pengusaha Kedai Runcit Zaki Jaya, Mansah Marjurin terkejut selepas didatangan empat orang anggota polis pada Ahad lalu yang kemudiannya bertindak mengkompaunnya sebanyak RM50,000 atas kesalahan beroperasi melebihi had masa.
“Kedai saya sudah tutup, saya ada bukti CCTV. Hanya lampu sahaja menyala kerana masih ada anak saudara saya di dalam untuk mengemas. Semua pagar utama sudah ditutup.
“Saya sangat terkejut apabila didatangi empat pegawai polis dan terus menyaman saya sebanyak RM50,000 dan terus beredar apabila siap menyaman tanpa budi bicara.” – katanya dipetik dari Malaysiakini.
Bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu bahawa beliau tidak mampu membayar saman berkenaan kerana masih banyak hutang yang belum dilangsaikan dengan tunggakan rumah selama tujuh bulan dan kereta yang telah ditarik pihak bank.
“Ambillah kedai saya, memang saya tidak mampu untuk bayar RM50,000.” – kesalnya.
Beliau dipercayai akan pergi ke Pejabat Daerah bagi membuat rayuan kompaun itu dan sangat berharap agar ada pihak yang boleh membantunya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga iaitu Wan Mohd Faisal, Azizi dan Mansah.
Tambahnya, pihak polis akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga berkenaan.
Sumber: Malaysiakini.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021