Akibat kecewa dan tertekan tidak menerima gaji selama 5 bulan, seorang pekerja binaan warga Pakistan dipercayai telah bertindak nekad membunuh diri di Jalan Ampang, Selangor.
Sebelum bertindak sedemikian, mangsa yang dikenali sebagai Shahzad Ahmed telah menyiarkan sebuah video memaparkan dirinya di aplikasi Tik Tok sambil mengatakan bahawa beliau sudah ‘tidak boleh tahan’ lagi dengan tindakan majikannya itu.
“Saya mahu buat video. Saya punya bos, dia sudah lima bulan tak bagi gaji saya. Saya tak boleh tahan. Saya punya mati punya pasal… punya bos, tolong kawan, cari dia,” – katanya di video aplikasi itu.
Video berkenaan juga mempunyai perincian majikannya iaitu Landseal Sdn Bhd.
Siasatan polis kemudiannya mendapati syarikat itu gagal membayar gaji kerana berdepan masalah kewangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dimaklumkan juga bahawa majikan ada menawarkan gaji secara sedikit, tetapi ditolak mangsa yang inginkan gaji penuh.
“Kawan kerja dia kata dia ada masalah keluarga dan tertekan sebab keluarga minta dia hantar duit,” – kata Ashari Abu Samah, Ketua Polis Wangsa Maju.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Landseal Sdn Bhd, Radha Krishnan yang dihubungi Malaysiakini berkata syarikatnya akan menanggung kos untuk menghantar jenazah ke Pakistan dan memberikan pembayaran muhibah kepada keluarganya.
“Ketika diminta mengulas mengenai tuduhan bahawa kematian itu disebabkan oleh kekecewaan si mati terhadap gaji yang tidak dibayar, Krishnan mengatakan dia tidak dapat memberi komen kerana perkara itu sedang dalam siasatan polis.” – Petikan dari Malaysiakini.
Jika anda menghidapi masalah tekanan atau mengenali mana-mana pihak yang menghidapinya, jangan tunggu lama dan segeralah mendapatkan bantuan. Antara saluran bantuan itu adalah:
Pusat Kaunseling Agape Malaysia
Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800
The Befrienders
Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145
Life Line Association Malaysia
Talian Hotline: 03-42657995
Sumber: Malaysiakini.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021