Berdasarkan definisi yang diterima Kerajaan, Warga Emas adalah golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas, di mana takrifan ini dibuat merujuk kepada “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna.
Sebelum ini, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kerajaan ada memperkenalkan sebuah program kebajikan yang dikenali sebagai Bantuan Orang Tua (BOT) dengan nilai bantuan sebanyak RM350 setiap bulan kepada warga emas yang layak. Tujuan utamanya adalah bagi membantu golongan berkenaan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Bagaimanapun, bermula pada tahun 2021 – Kerajaan telah mempertingkatkan jumlah bantuan ini kepada RM500 setiap bulan, selaras dengan apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.
Hal ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak RM150 dalam program bantuan ini, yang dilihat sememangnya perlu dalam usaha meringankan lagi beban mereka yang memerlukan.
Berikut adalah syarat-syarat kelayakan BOT:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia.
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
- Berpendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; DAN
- Warga emas yang bukan tinggal di:
- Institusi kendalian JKM; atau
- Pusat jagaan harian/ berkediaman yang memberi kemudahan / perkhidmatan secara percuma; ATAU
- Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
Cara memohon:
Berkenaan dengan pengendalian permohonan bantuan, ia dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan menjalani siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon.
Bagi mengemukakan permohonan, pemohon atau wakil boleh mendaftar permohonan secara atas talian di LAMAN INI dan pemohon dikehendaki hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat mengikut Daerah mana yang dipohon dalam tempoh 14 hari dari permohonan dibuat di atas talian.
Bagi memudahkan urusan permohonan, pemohon juga diminta untuk membawa dokumen-dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat, iaitu:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon.
- Salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama.
- Salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama
- Salinan penyata gaji (jika ada).
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Pemohon atau wakil juga boleh mengisi borang secara manual yang boleh didapati di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat atau muat turun DI SINI.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, pemohon atau wakil boleh menghadiri mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran atau menghubungi talian: 03-8000 8000.
Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021