Baru-baru ni tular di media sosial sebuah klip video memaparkan protes pekerja sebuah syarikat penghantaran, J&T Express (J&T) yang mencampak bungkusan-bungkusan barangan pelanggan. Ia dikatakan terjadi disebabkan rasa tidak puas hati pekerja terhadap komisen rider yang diturunkan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan J&T selepas itu, syarikat berkenaan mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan ada segelintir kakitangannya yang kurang jelas dengan sistem pengagihan bonus. Para pekerja yang terlibat dalam protes itu turut tampil memohon maaf atas perkara yang berlaku.
Namun, apa yang terjadi ini sudah semestinya membimbangkan ramai pihak, khususnya para peniaga yang menggunakan khidmat penghantaran. Lebih-lebih lagi jika bungkusan mereka itu hilang atau rosak sebelum sampai ke tangan pembeli.
Tapi sebelum itu, perlu dijelaskan dulu bahawa dalam urusan jual beli ia adalah kontrak di antara penjual dan pembeli. Jadinya, sekiranya anda adalah pembeli dan barang anda rosak atau tidak sampai – ia adalah urusan anda dengan penjual. Makanya, tuntutan itu bolehlah dibuat kepada penjual.
Bagi penjual pula, mereka berhak mendapatkan keadilan sekiranya barang yang mereka hantar tak sampai ke tangan pelanggan. Caranya adalah dengan membuat tuntutan terhadap syarikat penghantaran yang gagal menghantar barang berkenaan. Oleh itu, berikut adalah apa yang pengirim barang boleh lakukan sekiranya barang mereka rosak, hilang atau gagal dihantar.
1. Mahkamah Tuntutan Kecil
Jika pengirim memilih cara untuk mendapatkan duitnya balik, maka secara teknikalnya pengirim akan menyaman pihak satu lagi yang dianggap telah melanggar kontrak. Dalam kes sebegini, pihak pengirim yang menghantar barang tu boleh mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil (atau Mahkamah Majistret) bagi mendapatkan keadilan. Cumanya, mahkamah ini hanya mengendalikan kes-kes di bawah RM5,000.
Dalam masa sama, pihak penuntut juga tidak perlu menggunakan khidmat peguam bila membuat tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil. Caranya, pihak penuntut harus hadir ke bahagian pendaftaran mahkamah dan mengisi Borang 198 dengan maklumat diri dan maklumat pihak defendan. Bayaran sebanyak RM20 akan dikenakan.
Selepas itu, penuntut akan diberikan writ saman, borang yang telah ditandatangi Mahkamah dan dimaklumkan dengan tarikh berbicaraan. Penuntut kemudiannya perlu mencetak writ saman tersebut dan menghantarnya ke pihak defendan (sama ada secara peribadi atau pos berdaftar).
Bila telah tiba tarikh perbicaraan, Mahkamah akan memutuskan sama ada pihak defendan perlu membayar atau tidak tuntutan yang dibuat berdasarkan bukti dan dokumen yang dikemukakan.
2. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Salah satu badan yang ditugaskan untuk membela hak pengguna adalah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Berbeza dengan Mahkamah Tuntutan Kecil, nilai tuntutan di TTPM pula kurang dari RM25,000. Membuat tuntutan TTPM sebenarnya agak mudah, iaitu penuntut hanya perlu mengisi borang secara atas talian (Borang 1) dan membayar yuran pemprosesan sebanyak RM5.00.
Selepas itu, penuntut perlu menghantar dokumen tertentu kepada pihak yang dituntut untuk memaklumkan yang aduan telah pun dibuat. TTPM seterusnya akan menetapkan tarikh pendengaran kes. Ketika di TTPM nantilah, ada pihak yang akan menguruskan kes dan jadi pengantara dalam menyelesaikan pertikaian yang berlaku.
Selepas tuntutan berjaya diselesaikan dengan persetujuan kedua-dua pihak, tribunal akan mengeluarkan award iaitu boleh jadi dalam bentuk wang yang dibayar kepada penuntut ataupun ganti untuk barang.
Ketahui hak kita sebagai pengguna
Bagi pembeli, sekiranya barang anda tidak sampai selepas tarikh yang dijanjikan adalah lebih baik untuk anda berhubung dengan penjual dulu untuk kepastian. Dan jika anda menggunakan platform jualan online untuk membeli barang berkenaan, ia agak lebih mudah kerana biasanya platform tersebut telah ada terma dan syarat tersendiri. Ia termasuklah:
- Pembeli boleh memberi notis bertulis kepada penjual dalam tempoh 14 hari dari tarikh barang sepatutnya sampai.
- Jika penjual masih gagal, pembeli berhak menamatkan kontrak dan menuntut bayaran balik dengan nilai barang tidak dihantar.
- Ia boleh dilakukan dengan menghubungi platform jualan online tersebut untuk tindakan lanjut dan prosedur yang perlu diikuti bagi membuat tuntutan.
Tapi bagi penjual yang barangnya gagal dihantar kepada pembeli, caranya adalah dengan membuat tuntutan seperti yang dinyatakan di atas. Penjual juga boleh membuat tuntutan pampasan daripada syarikat penghantaran dengan mengisi borang dan mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Namun begitu, cara ini tidak menjamin penuntut boleh mendapat nilai tuntutan yang sama dengan barang yang hilang atau rosak. Tuntutan yang telah dibayar juga akan membuatkan sebarang tuntutan di Mahkamah/TTPM terbatal secara automatik dan kes ditutup.
Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak!
Sumber: Aida Shuzana (Facebook) & Asklegal.