Bank keempat terbesar di Asia Tenggara, Malayan Banking Bhd (Maybank) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.39 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 dengan peningkatan 16.6 peratus berbanding RM2.05 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, dari segi aset ia menurun kepada RM12.22 bilion pada suku dikaji berbanding RM13.23 bilion pada suku sama tahun lalu.
Bank itu dalam satu kenyataan berkata, peningkatkan keuntungan bersih tersebut berlaku berdasarkan pinjaman yang meningkat seiring dengan prospek ekonomi yang semakin baik, sementara perbelanjaan dan kerugian rosot nilai bersih menurun.
Tambahnya lagi, pendapatan operasi bersih Maybank juga adalah pada kadar RM6.83 bilion, lebih tinggi sedikit daripada tahun sebelumnya, dengan kenaikan 7.0 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM4.65 bilion.
Berkenaan dengan pinjaman, ia telah meningkat sebanyak 3.1 peratus, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pendapatan berdasarkan fi bersih menurun kepada RM2.18 bilion dari RM2.38 bilion pada tahun sebelumnya.
“Usaha berterusan dalam pengurusan kos membolehkan perbelanjaan ‘overhead’ menurun 4.1 peratus kepada RM2.82 bilion pada suku pertama daripada RM2.94 bilion sebelumnya.
“Ini membantu memperbaiki nisbah kos kepada pendapatan kumpulan kepada 41.3 peratus daripada 43.7 peratus tahun sebelumnya di mana pertumbuhan pendapatan 1.5 peratus mengatasi penurunan 4.1 peratus kos ‘overhead’ pada suku berkenaan,” – memetik kenyataan itu.
Prestasi suku pertama yang memberangsangkan itu disifatkan oleh pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa sebagai bukti daya tahan operasi kumpulan yang kuat dan strategi proaktif yang telah digunapakai oleh Maybank sepanjang tahun lalu.
Ia sekaligus memunculkan Maybank sebagai sebuah institusi dipercayai walaupun keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan pandemik .
“Walaupun kita melihat peningkatan semula jangkitan COVID-19 di sebilangan pasaran, kita tetap berharap pemulihaan ekonomi secara beransur-ansur untuk rantau ini, di mana kerajaan berusaha untuk mengatasi kemunduran ini dan meningkatan program vaksinasi mereka.
“Maybank berada dalam posisi yang baik untuk mendukung peningkatan kegiatan ekonomi dan kami akan terus memperkukuhkan perniagaan, bersama-sama dengan pihak berkepentingan serta menyokong pelanggan supaya secara kolektif kita dapat tampil dengan lebih kuat,” katanya.
Sumber: Berita Harian.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021