Musim persekolahan baharu semakin menghampiri, dan ibu bapa pastinya sibuk membuat persiapan bagi memastikan anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan lancar. Daripada membeli peralatan sekolah hingga mengatur jadual harian, persediaan yang rapi dapat membantu mengurangkan tekanan dan memastikan segala keperluan anak-anak dipenuhi.
Salah satu aspek penting dalam persiapan sekolah adalah menyediakan kelengkapan seperti pakaian seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis, dan buku latihan. Sebaiknya, ibu bapa membuat senarai semak awal untuk mengelakkan pembelian saat akhir yang boleh menyebabkan kos lebih tinggi dan pilihan yang terhad. Selain itu, manfaatkan promosi atau jualan harga rendah untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih berpatutan.
Selain kelengkapan fizikal, persediaan mental dan emosi anak-anak juga tidak boleh diabaikan. Bagi pelajar yang baru melangkah ke alam persekolahan, seperti murid Tahun 1 atau pelajar yang berpindah sekolah, mereka mungkin mengalami kebimbangan atau ketidakselesaan. Berbincang dengan anak-anak tentang rutin harian, memperkenalkan mereka kepada konsep pembelajaran, serta memberikan galakan dan motivasi dapat membantu mereka lebih bersedia.
Di samping itu, aspek kewangan juga perlu diurus dengan bijak. Ibu bapa boleh merancang bajet lebih awal dan memanfaatkan bantuan kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan (BAP) atau skim bantuan lain bagi meringankan beban perbelanjaan.
Dengan perancangan yang teliti, sesi persekolahan baharu bukan sahaja menjadi pengalaman yang lancar tetapi juga lebih menyeronokkan bagi anak-anak. Ibu bapa yang bersedia lebih awal dapat mengelakkan tekanan dan memberi fokus kepada perkara yang lebih penting—membantu anak-anak mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan telah memperkenalkan sebuah bantuan kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Awal Persekolahan (BAP). Ini adalah maklumat lanjut tentang bantuan berkenaan: –
Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Di bawah Belanjawan 2025, pihak Kerajaan telah bersetuju meneruskan pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP). Bantuan ini berobjektif untuk mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan murid.
Kadar bantuan ini adalah sebanyak RM150 dan ia diberikan secara sekaligus (one-off). Menariknya, bantuan ini diberikan kepada semua murid dari Tahun 1 hingga Tingakatan 6 tanpa mengira had pendapatan ibu bapa atau penjaga.
Oleh itu, sekiranya sesebuah keluarga itu mempunyai 3 orang anak sedang bersekolah, maka jumlah keseluruhan BAP yang diterima adalah sebanyak RM450.
Murid yang layak menerima bantuan ini merangkumi dari sekolah-sekolah berikut:
- Sekolah kerajaan (SK);
- Sekolah bantuan kerajaan (SBK);
- Sekolah agama;
- Sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat;
- Kolej PERMATA;
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih;
- Sekolah Integriti;
- Sekolah Henry Gurney;
- Maktab Rendah Sains MARA; dan
- Maktab Tentera Diraja
Tarikh Pembayaran BAP
Bagi pembayaran BAP, ia dibuat mengikut jadual berikut:
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025:
- Bayaran bermula pada 13 Januari 2025;
- Murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026:
- Bayaran bermula pada 16 Februari 2025;
- Murid Tingkatan 6 baharu:
- Pembayaran akan dilaksanakan mulai 01 Julai 2025.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara pembayaran bantuan ini dibuat dengan beberapa kaedah utama iaitu serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau
ibu bapa/murid (sekolah menengah); atau pengkreditan ke akaun bank murid; atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (dilaksanakan mulai tahun 2025).
Untuk makluman, pihak Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
Untuk maklumat lebih lengkap berkenaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ini, sila rujuk di Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – DI SINI.