Dalam masyarakat yang pesat membangun, masih ramai individu dan keluarga yang tergolong dalam golongan memerlukan. Mereka bukan sahaja terdiri daripada golongan miskin tegar, malah termasuk warga emas yang hidup sebatang kara, ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak-anak, orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan khas, serta mereka yang terkesan akibat bencana alam, kehilangan pekerjaan atau krisis ekonomi.
Golongan ini sering tersembunyi di sebalik kesibukan kita menjalani kehidupan seharian. Ramai yang tidak bersuara kerana malu atau takut dianggap lemah. Namun hakikatnya, mereka amat memerlukan perhatian, sokongan, dan tindakan kolektif daripada seluruh masyarakat – bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi juga sokongan emosi, peluang pekerjaan, akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Apa yang membezakan masyarakat prihatin dengan yang sebaliknya ialah sejauh mana kita mengambil berat terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Bantuan yang kita hulurkan, walaupun kecil, boleh membawa perubahan besar dalam hidup seseorang. Sebagai contoh, sekampit beras, sebuah tilam baru, atau yuran sekolah yang ditanggung – mungkin tidak signifikan bagi kita, tetapi ia mungkin satu bentuk harapan buat mereka yang sedang diuji dengan kesempitan hidup.
Kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta individu perlu bekerjasama bagi mewujudkan ekosistem sokongan yang mampan. Program bantuan bersasar, skim perlindungan sosial, serta platform sukarelawan adalah antara langkah penting yang boleh mengurangkan beban golongan memerlukan. Dalam era digital ini, kempen bantuan melalui media sosial juga terbukti berkesan dalam mengetengahkan kisah dan nasib mereka, sekali gus membuka pintu untuk lebih ramai tampil membantu.
Lebih penting, kita harus memupuk budaya empati dalam kalangan masyarakat. Kesedaran bahawa rezeki yang kita miliki hari ini bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi bersama, akan membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan seimbang. Dengan mendekati golongan memerlukan, kita bukan sahaja memberi mereka harapan baru, tetapi turut membina negara yang lebih adil dan harmoni untuk semua.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan turut memperkenalkan pelbagai jenis bantuan bulanan – yang antaranya adalah melalui Bantuan Am Persekutuan. Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan berkenaan: –
Bantuan Am Persekutuan
Bantuan Am Persekutuan atau BAP ini adalah sebuah bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bertujuan untuk membantun individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini adalah sebanyak minima RM150 sehingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga. Pembayarannya dibuat setiap bulan dengan kaedah dikreditkan terus ke akaun penerima yang layak serta diluluskan permohonan mereka.
Syarat-Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain; dan
- Faktor-faktor lain yang difikirkan sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi, kesihatan dan tanggungan pemohon.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara Memohon
Bagi permohonan Bantuan Am Persekutuan – ia boleh dilaksanakan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan/ Bahagian/ Cawangan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Pemohon juga dikehendaki membawa dokumen-dokumen berikut ketika membuat permohonan:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami/ isteri/ ibu/ bapa/ anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak/ ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada), dan
- Lain-lain dokumen yang berkaitan.
Bagi memastikan permohonan dibuat oleh mereka yang benar-benar layak, setiap permohonan yang dikemukakan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Hal ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Bagi maklumat lengkap berkenaan bantuan-bantuan ini, sila rujuk Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) – DI SINI.