Menempuh alam pengajian tinggi bukan sekadar tentang menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan. Di sebalik kejayaan segulung ijazah, terselit pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh para pelajar, khususnya dalam aspek sara diri. Bagi kebanyakan pelajar, terutamanya yang datang dari luar bandar atau keluarga berpendapatan sederhana, mengurus kewangan untuk kehidupan seharian merupakan ujian yang tidak mudah.
Kos sara hidup pelajar tidak terhad kepada yuran pengajian semata-mata. Ia merangkumi perbelanjaan tempat tinggal, makanan, pengangkutan, buku rujukan, peralatan belajar, dan pelbagai keperluan lain. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barangan yang semakin meningkat, ramai pelajar terpaksa mengambil inisiatif bekerja sambilan, menjalankan perniagaan kecil-kecilan, atau bergantung kepada bantuan kewangan seperti biasiswa, pinjaman pendidikan dan bantuan zakat.
Namun, tanpa pengurusan kewangan yang bijak, bantuan yang diterima boleh habis dalam sekelip mata. Ada pelajar yang terpaksa berhutang, menangguh bayaran sewa atau mengikat perut demi meneruskan pengajian. Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan dari segi kewangan, malah turut menjejaskan fokus dan kesihatan mental.
Justeru, penting bagi pelajar untuk merancang perbelanjaan, memanfaatkan segala bentuk bantuan yang ditawarkan kerajaan atau institusi, serta mengamalkan gaya hidup sederhana. Pada masa sama, pihak institusi pengajian dan kerajaan juga perlu terus memperluaskan akses kepada bantuan sara diri agar tiada pelajar yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan.
Oleh hal demikian, pihak Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan sebuah insiatif yang dikenali sebagai Bantuan Sara Diri. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan ini.
Bantuan Sara Diri
Bantuan Sara Diri adalah sebuah inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Perak. Ia diperkenalkan dengan tujuan untuk meringankan beban para mahasiswa ketika menjalani pengajian.
Pada tahun 2025, peruntukan bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa telah dipertingkatkan kepada RM4 juta berbanding RM2 juta pada tahun sebelumnya.
Jumlah sumbangan Bantuan Sara Diri yang ditetapkan pula adalah seperti berikut:
- RM500: Bagi pelajar Diploma;
- RM700: Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda;
- RM800: Bagi pelajar Ijazah Sarjana;
- RM1,000: Bagi pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Syarat-Syarat Kelayakan
- Anak kelahiran Negeri Perak (Warganegara Malaysia) seperti berikut:
- Pemohon dan ibu atau bapa lahir di Negeri Perak; atau
- Pemohon dan ibu atau bapa lahir di luar Negeri Perak tetapi telah bermastautin di Negeri Perak lebih daripada 10 tahun. (Surat pengesahan bermastautin daripada Penghulu atau Ketua Kampung); atau
- Pemohon dan ibu atau bapa yang lahir di Negeri Perak tetapi beralamat di luar Negeri Perak dan telah bermastautin di Negeri Perak lebih dari 10 tahun. (Surat pengesahan bermastautin daripada Penghulu atau Ketua Kampung)
- Sedang melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam semester kedua dan ke atas peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (MASTER) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
- Pengajian Jarak Jauh (PJJ) daripada setiap IPT tidak layak untuk memohon bantuan ini;
- Semua permohonan perlu mendapat sokongan / pengesahan penghulu / ketua kampung / wakil rakyat / pegawai kerajaan kelas A / Pegawai HEP IPT;
- Isi rumah (Ibu dan Bapa) keluarga berpendapatan RM3,000 dan kebawah (gaji pokok);
- Mahasiswa memperolehi PNG 3.0 dan ke atas;
- Pemberian setahun sekali sahaja bagi setiap pelajar mengikut peringkat pengajian. (Bantuan Sara Diri).
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Cara Memohon Bantuan Sara Diri
Bagi yang menepati syarat-syarat kelayakan, permohonan bantuan ini hendaklah dibuat secara atas talian (online) di Portal Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak (EHEYNS).
Pemohon juga perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut:
- Borang Perakuan dan Senarai Semak: Borang perakuan dan Senarai Semak ini boleh dimuat turun di laman web EHEYNS dan wajib disertakan bersama-sama dokumen yang diperlukan;
- Salinan Kad Pengenalan (Mykad) pelajar, ibu dan bapa / penjaga yang lahir di Perak;
- Salinan Kad Pelajar;
- Salinan Transkrip Keputusan Peperiksaan. Bagi pelajar Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam mod penyelidikan, sila lampirkan surat pengesahan sedang belajar dari institut pengajian;
- Penyata pendapatan (isirumah) bapa & ibu / penjaga. Sekiranya pesara, sila kepilkan salinan penyata pencen bulanan atau jika bekerja sendiri, sila dapatkan pengesahan pendapatan/pengesahan tidak bekerja. Penerimaan penyata pendapatan hanya bagi bulan Januari 2025 sehingga Mac 2025 sahaja;
- Salinan penyata akaun bank pelajar yang aktif;
- Salinan Surat Pengesahan Bermastautin/ Sijil Kematian/ Sijil Bercerai (jika berkaitan).
Dokumen-dokumen permohonan mestilah dimuat naik di dalam format PDF semasa membuat permohonan secara atas talian.
Selepas itu, dokumen-dokumen berikut perlu dihantar ke PEJABAT PENGERUSI JAWATANKUASA PENDIDIKAN, PENGAJIAN TINGGI, BELIA DAN SUKAN NEGERI PERAK melalui POS / SERAHAN KAUNTER selepas membuat permohonan secara atas talian.
PERMOHONAN BANTUAN SARA DIRI DIBUKA MULAI 16 APRIL HINGGA 31 MEI 2025.
Maklumat lengkap berkenaan Bantuan Sara Diri ini, sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.