Bagi membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan tunai telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri. Bantuan-bantuan tunai ini diberikan dengan tujuan untuk membantu mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Ia termasuklah bantuan-bantuan bagi tujuan pendidikan kepada mereka yang memerlukan. Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan yang diperkenalkan itu: –
Bantuan-Bantuan YPM
Yayasan Pelajaran MARA atau YPM adalah sebuah yayasan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 25, Akta Majlis Amanah Rakyat 1966 dan mula berkuatkuasa pada 1 November, 1968. Maksud dan tujuan penubuhan YPM adalah merangkumi:
- Untuk mengadakan kemudahan pelajaran dan latihan bagi Bumiputera;
- Untuk menggalakkan pelajaran dan latihan Bumiputera; dan
- Untuk menubuhkan dan mengadakan biasiswa, pemberian dan lain-lain bantuan wang kepada Bumiputera bagi maksud membolehkan mereka melanjutkan.
Di bawah yayasan ini, terdapat pelbagai jenis bantuan dan program yang telah diperkenalkan bagi tujuan membantu mereka yang memerlukan (khususnya dalam urusan pelajaran). Antaranya adalah melalui:
Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP)
Skim ini diwujudkan bagi menyediakan bantuan kewangan secara sekaligus (one-off) bagi meringankan beban pelajar yang mengalami masalah kewangan semasa mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
Perlaksanaan SDEP ini diberikan sekali dalam tempoh pengajian sebagai salah satu langkah untuk membela nasib pelajar dari keluarga berpendapatan rendah agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang kesulitan disamping memberi dorongan memperoleh keputusan akademik yang cemerlang dan tamat pengajian.
Dengan kata lain, objektif utama skim ini adalah:
- Membantu meringankan beban pelajar yang mempunyai masalah yuran tertunggak;
- Membantu pelajar yang tidak mendapat biasiswa atau pinjaman;
- Membantu pelajar yang teraniaya atau tertipu oleh institusi pengajian;
- Menyediakan sara hidup bagi pelajar yang memerlukan;
- Memastikan sistem penyampaian pembiayaan yang efisien, cepat, tepat dan betul.
Syarat-syarat kelayakan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) adalah seperti berikut:
- Bumiputera warganegara Malaysia;
- Pendapatan keluarga tidak melebihi RM 3,000.00 sebulan;
- Mendapat tawaran atau telah mendaftar atau sedang mengikuti pengajian di institusi yang diiktiraf.
Skim Bantuan Persekolahan – Rendah & Menengah
Skim ini pula adalah sebuah bantuan kewangan secara ‘one-off’ kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dengan kadar maksima RM500 (Menengah) dan RM300 (Rendah). Objektif utama skim ini ialah:
- Sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi akademik pelajar.;
- Memastikan pelajar golongan pertengahan juga mendapat perhatian sewajarnya;
- Berperanan sebagai pembela pelajar miskin agar berpeluang mengikuti sistem persekolahan negara sehingga tamat;
- Memberi sokongan moral kepada ibubapa / keluarga / penjaga dalam membantu memperkasakan tahap pendidikan anak-anak.
Skim Bantuan Persekolahan – Insentif
Skim ini diperkenalkan sebagai bantuan kepada pelajar-pelajar yang menunjukan prestasi cemerlang dalam peperiksaan utama UPSR / PT3 / SPM / STPM atau pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam sukan, hafazan (tahfiz) dan lain-lain kecemerlangan yang difikirkan bersesuaian.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Skim Bantuan Persekolahan – NGO / Rakan Strategik
Skim ini pula adalah kerjasama strategik bersama organisasi / institusi / pertubuhan dan pihak lain yang berkaitan dalam menjayakan program bantuan berbentuk kewangan / barangan / peralatan yang berkaitan dengan keperluan persekolahan kepada pelajar.
Skim Bantuan Persekolahan – Program Khas
Skim ini adalah kerjasama strategik bersama organisasi / institusi / pertubuhan dan pihak lain yang berkaitan dalam menjayakan program bantuan berbentuk kewangan / barangan / peralatan yang berkaitan dengan keperluan persekolahan kepada pelajar yang diluluskan oleh Pengurusan / Lembaga Pengarah YPM.
Cara Memohon
Bagi urusan permohonan, borang permohonan boleh dimuat turun melalui Portal Rasmi YPM. Akan tetapi, terdapat beberapa buah skim yang tidak dibuka permohonannya ketika ini.
Untuk maklumat lengkap dan terperinci berkenaan skim-skim bantuan YPM, ia boleh dirujuk di portal rasmi YPM – DI SINI.