Awal persekolahan adalah fasa yang amat penting dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Ia bukan sahaja menjadi permulaan kepada perjalanan pendidikan formal, tetapi juga waktu di mana mereka mula membentuk asas kemahiran sosial, emosi, dan kognitif. Sama ada mereka memulakan tadika, prasekolah, atau Tahun 1, setiap langkah awal ini memainkan peranan besar dalam menyediakan mereka untuk cabaran akademik dan kehidupan seharian.
Keperluan awal persekolahan melibatkan pelbagai aspek, termasuk persiapan mental, fizikal, dan emosi. Kanak-kanak perlu berasa selesa dengan persekitaran baharu, seperti bilik darjah dan guru, serta belajar cara berinteraksi dengan rakan sebaya. Persediaan dari segi barangan seperti pakaian seragam, alat tulis, dan buku sekolah juga menjadi keutamaan bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lancar.
Selain itu, sokongan daripada ibu bapa atau penjaga adalah elemen yang tidak boleh dipandang remeh. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak memahami kepentingan pendidikan dan memberikan motivasi yang diperlukan. Penekanan terhadap tabiat positif seperti disiplin, sikap bertanggungjawab, dan rasa ingin tahu akan membentuk asas yang kukuh untuk pembelajaran berterusan.
Dalam masa sama, persiapan ke sekolah juga merupakan aspek utama yang perlu difikirkan oleh ibu bapa atau penjaga. Oleh hal demikian, pihak Kerajaan telah memperkenalkan sebuah inisiatif yang dikenali sebagai Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Bantuan Awal Persekolahan atau BAP adalah sebuah inisiatif di bawah Kerajaan Persekutuan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ia diperkenalkan bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan.
Kadar pembayaran ini adalah sebanyak RM150 secara sekaligus atau ‘one-off’.
Syarat-Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia;
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya.
Berikut adalah senarai sekolah yang layak menerima bantuan ini:
- Sekolah kerajaan (SK);
- Sekolah bantuan kerajaan (SBK);
- Sekolah agama;
- Sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat;
- Kolej PERMATA;
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih;
- Sekolah Integriti;
- Sekolah Henry Gurney;
- Maktab Rendah Sains MARA; dan
- Maktab Tentera Diraja.
Pembayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Untuk makluman, peruntukan BAP disalurkan ke sekolah dan pihak sekolah akan membuat agihan kepada murid secara kredit ke dalam akaun murid atau tunai.
Menariknya, pembayaran bantuan ini diberikan kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu-bapa atau penjaga. Oleh hal demikian, sekiranya sebuah keluarga itu mempunyai 5 orang anak bersekolah – maka kadar keseluruhan BAP adalah sebanyak RM750.
Dimaklumkan juga bahawa pemberian bantuan ini adalah secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan. Seperti mana dimaklumkan di bawah Belanjawan 2025, BAP akan mula diagihkan kepada yang layak pada bulan Januari 2025 depan.
“Hampir RM800 juta ringgit Bantuan Awal Persekolahan disediakan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa,” petikan ucapan Belanjawan 2025 seperti mana dibentangkan di Dewan Rakyat.
Dalam masa sama, peruntukan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga akan ditingkatkan kepada RM870 juta berbanding RM784 juta sebelum ini. RMT itu nanti akan memanfaat lebih 860 ribu murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.
Selain itu, pihak Kerajaan turut bersetuju meningkatkan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada RM180 juta berbanding RM150 juta.
Bagi memastikan ruangan pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna untuk anak-anak menimba ilmu. Pihak Kerajaan menyediakan RM2 bilion untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan inisiatif, bantuan dan program di bawah Belanjawan 2025, sila rujuk di Portal Belanjawan – DI SINI.