Golongan B40 – iaitu 40% penduduk Malaysia dengan pendapatan isi rumah terendah — sering berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian, terutamanya dari segi kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. Dalam era ketidaktentuan ekonomi, jurang sosioekonomi antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi dilihat semakin melebar.
Oleh itu, adalah amat penting untuk memberi tumpuan kepada keperluan sebenar golongan ini serta merangka usaha bersepadu bagi meningkatkan keupayaan mereka agar tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Antara keperluan utama golongan B40 termasuklah akses kepada pendidikan berkualiti, kemahiran pekerjaan yang relevan, peluang menjana pendapatan sampingan, tempat tinggal yang selesa, serta sistem sokongan kesihatan yang mudah dicapai dan mampu milik. Dalam banyak kes, mereka juga terperangkap dalam kitaran kemiskinan apabila tidak mendapat sokongan mencukupi untuk keluar daripada beban kewangan atau masalah sosial yang diwarisi turun-temurun.
Menyedari hakikat ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta sektor swasta untuk membantu golongan B40. Antaranya termasuk program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program perumahan mampu milik, peluang latihan teknikal dan vokasional, skim insurans kesihatan percuma, serta sokongan keusahawanan mikro. Walau bagaimanapun, usaha ini perlu diperkasa dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan lestari.
Peningkatan keupayaan (capacity building) menjadi kunci utama dalam mengangkat martabat golongan ini. Ia bukan sahaja melibatkan pemberian bantuan kewangan semata-mata, tetapi juga pemerkasaan ilmu, latihan kemahiran, serta pendedahan kepada peluang ekonomi baharu — khususnya dalam ekonomi digital. Dengan menyediakan mereka alat dan ilmu yang betul, golongan B40 bukan sahaja mampu berdikari, malah berpotensi untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Dalam masa sama, pihak Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan sama ada secara bulanan atau sekali bayar (one-off). Berikut adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan yang telah diperkenalkan: –
Bantuan Geran Pelancaran
Geran Pelancaran adalah sebuah bantuan kewangan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertujuan untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar JKM yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu atau keluarga.
Ia juga berobjektif bagi mewujudkan program pembangunan dan pengintergrasian bagi membantu klien mencapai matlamat ke arah berdikari.
Kadar bantuan ini ditetapkan sebanyak RM2,700 dan diberikan secara sekali bayar atau ‘one-off’. Syarat-syarat kelayakan Geran Pelancaran adalah:
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia;
- Kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
- Tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
Cara Memohon
Seperti mana syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan Geran Pelancaran hanya boleh dibuat oleh kumpulan sasar JKM sahaja. Oleh itu, ia bermakna – permohonan Geran Pelancaran hanya boleh dibuat oleh penerima bantuan bulanan JKM sahaja.
Makanya, sekiranya seseorang itu permohonan bantuan bulanannya diluluskan – maka permohonan Geran Pelancaran boleh dilaksanakan. Permohonannya boleh dibuat di cawangan-cawangan Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat.
Bagi maklumat lengkap berkenaan bantuan ini, sila rujuk Portal Rasmi JKM – DI SINI.
Maklumat Tambahan
Antara bantuan bulanan yang telah diperkenalkan oleh JKM adalah Bantuan Am Persekutuan. Bantuan ini pada asasnya diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini adalah antara RM150 sehingga RM500 sebulan sekeluarga. Syarat-syarat kelayakannya adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa;
- Golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain; dan
- Faktor-faktor lain yang difikirkan sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi, kesihatan dan tanggungan pemohon.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Selain itu, terdapat juga Bantuan Warga Emas atau BWE. Bantuan ini diberikan kepada warga emas untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
Kadar bantuan ini adalah sebanyak RM600 setiap bulan dan berikut adalah syarat kelayakannya:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
- Berumur 60 tahun dan ke atas;
- Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; atau
- Warga Emas yang tiada anak (sebatang kara) layak dipertimbangkan bantuan sekiranya tinggal bersama/ menumpang ahli keluarga lain/ penjaga yang mempunyai pendapatan melebihi PGK Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa/ PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa; dan
- Warga emas yang bukan tinggal di institusi kendalian JKM atau Pusat jagaan harian/ berkediaman (yang menerima Geran Rangsum) dan memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma.
Bagi maklumat lengkap berkenaan bantuan-bantuan ini, sila rujuk Portal Rasmi JKM – DI SINI.