Telah tibanya bulan Ramadhan iaitu bulan penuh rahmah dan berkat. Inilah bulan di mana umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa dari terbitnya fajar, sehingga tenggelam matahari.
Dalam masa sama, bulan Ramadan juga menyaksikan kewajiban umat Islam dalam menunaikan zakat fitrah. Zakat pada asasnya adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.
Bagi Zakat Fitrah pula, ia ditakrifkan sebagai zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Bagi tahun 1445 hijri atau 2024 masihi ini, pihak zakat setiap negeri telah menetapkan kadar zakat fitrah masing-masing dan berikut adalah maklumatnya:
Kadar Zakat Fitrah mengikut negeri-negeri
Sebelum itu, syarat-syarat wajib Zakat Fitrah adalah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya;
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari;
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya;
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Wilayah Persekutuan
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara Wilayah Persekutuan Kali ke-143 telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan:
- RM7: Dikenakan ke atas pengguna beras super special tempatan dan beras import biasa.
- RM15: Digenakan bagi pengguna beras import premium.
- RM22: Dikenakan bagi pengguna beras basmathi.
Selangor
Kadar zakat fitrah bagi negeri Selangor pada Ramadan tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.
RM7 untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Manakala, kadar RM14 pula adalah bagi pengguna beras Super Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi.
RM21 untuk umat Islam yang memakan beras jenis Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah dan setaraf dengannya.
Negeri Sembilan
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan kadar Zakat Fitrah negeri berkenaan pada kadar RM7, RM12.50 dan RM22
RM7 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis Super Special Tempatan lima peratus. RM12.50 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis beras Super Basmathi
Johor
Kadar Zakat Fitrah bagi negeri Johor adalah seperti berikut:
- RM7: Untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan.
- RM12: Untuk makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (beras import).
- RM20: Untuk umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras selain jenis Super Tempatan (beras import) seperti beras Super Wangi dan beras Basmathi.
Terengganu
Bagi tahun ini, Negeri Terengganu menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri berkenaan pada tidak kurang RM10 seorang. Kadar zakat umat Islam yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara adalah RM22 seorang manakala pengguna beras tempatan adalah RM10 seorang.
Saluran membayar Zakat Fitrah
Bagi pembayaran Zakat Fitrah, ia boleh dibuat dengan beberapa cara iaitu secara manual melalui pejabat zakat setiap negeri; melalui amil-amil yang dilantik di kariah-kariah atau secara atas talian (online) di portal zakat masing-masing.
Waktu pembayaran Zakat Fitrah adalah seperti berikut:
- Waktu Wajib: Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
- Waktu Afdal: Sebelum sembahyang Hari Raya
- Waktu Sunat: Sepanjang bulan Ramadhan
- Waktu Makruh: Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
- Waktu Haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.
Untuk maklumat lengkap berkenaan kadar Zakat Fitrah setiap negeri lain, sila rujuk di media sosial atau laman web rasmi lembaga zakat atau majlis agama masing-masing.