Baru-baru ini, tular di media sosial tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa adanya majikan yang sengaja melaporkan pekerja asing mereka ke pihak Imigresen selapas projek tamat kerana tidak mahu membayar gaji.
Dakwaan itu muncul selepas BERNAMA TV memuat naik sebuah video klip yang memaparkan barisan panjang pekerja asing yang ditahan di sebuah tapak pembinaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur.
Selain adanya dakwaan tentang tindakan majikan sendiri yang melaporkan pekerja asing mereka kepada pihak Imigresen, pengguna media sosial juga mempersoalkan mengapa tiada pula tindakan dan tangkapan terhadap majikan-majikan yang menggunakan khidmat pekerja asing tanpa izin berkenaan.
Mengulas hal tersebut, aktivis Abdul Aziz Ismail berkata, taktik berkenaan sememangnya telah lama berlaku di negara ini iaitu sejak tahun 1990-an lagi dan beliau sendiri pernah terlibat dalam beberapa kes pada pertengahan tahun 2000.
Malah, tambah ahli Majlis Pemerdagangan Manusia Selangor itu, ada kes di mana 40 orang pekerja yang telah bekerja selama lebih 10 bulan tidak dibayar gaji dan majikan pula membiarkan mereka ditangkap kerana tidak mahu membayar gaji tertunggak.
Lebih menyedihkan, ada majikan dan syarikat yang mengitar pekerja mereka dan perkara itu terjadi kerana adanya unsur rasuah di kalangan pihak-pihak yang terbabit.
“Mereka menukar kuota mereka. Selepas sebahagian ditahan, mereka berhubung dengan ejen pengambilan pekerja untuk menggantikan mereka.” – Abdul Aziz Ismail, laporan Free Malaysia Today.
Jabatan Imigresen Malaysia menahan sejumlah pendatang tanpa izin yang bekerja di tapak binaan kondominium terletak di Jalan Persiaran Pertahanan, Kampung Wirajaya, Setapak.
Video: Afiff Adnan pic.twitter.com/5wFWFzT9Tj
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) April 7, 2021
Hal yang sama juga diakui oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Hak Tenaganita, Glorene Das yang berkata, terdapat kes di mana pelarian dan pencari suaka diambil bekerja secara tidak beretika dengan janji gaji yang lumayan.
Bagaimanapun, setelah projek siap, mereka hanya menerima bayaran kecil bagi memastikan mereka berpuas hati.
“Kemudian ketika pekerja mulai menuntut gaji ketika projek hampir siap, serbuan berlaku.” – katanya, laporan Free Malaysia Today
Perkara ini baginya tidak hanya perlu dipertanggungjawabkan terhadap majikan semata-mata, kerana ia juga melibatkan kumpulan berkepentingan besar, termasuk pelabur dan agensi pengambilan pekerja.
“Denda dan kompaun memberikan impak, tetapi jika lesen mereka ditarik balik untuk tempoh waktu tertentu ia mungkin berkesan begitu juga dengan membekukan akaun bank mereka dan memalukan pelaku.” – katanya, laporan Free Malaysia Today.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan berkenaan dan akan mengambil kira pelbagai aspek jika benar wujud dakwaan itu, untuk memastikan proses keadilan ditegakkan.
“Kita tidak boleh sewenang-wenang menuduh majikan yang membuat laporan. Ini kerana sebelum serbuan serta operasi, kita membuat siasatan dan menggunakan strategi tertentu bagi memastikan majikan mengikut undang-undang.
“Begitu juga kepada pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dibayar levi tertentu. Sekiranya berlaku sesuatu, kita akan siasat dengan pekerja termasuk jika belum dibayar gaji, siasat di mana dan dengan siapa mereka bekerja.” – Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri, petikan dari Berita Harian.
Sumber: Free Malaysia Today & Berita Harian.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021