Golongan B40 pada asasnya merujuk kepada 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah di Malaysia dan sering menghadapi cabaran besar dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka adalah kelompok yang paling terkesan oleh kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan yang terhad, dan akses yang sukar kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, dan perumahan.
Bersama-sama dengan golongan rentan lain seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan ibu tunggal, kumpulan ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Contohnya, ramai di kalangan mereka bergantung kepada program bantuan kerajaan untuk membeli keperluan harian atau menampung pendidikan anak-anak.
Menyantuni golongan ini bukan sahaja meringankan beban mereka tetapi juga menyumbang kepada kestabilan sosial dan pembangunan negara. Oleh hal demikian, pihak Kerajaan telah memperkenalkan beberapa jenis bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
SARA merupakan bantuan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ia diperkenalkan sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.
Sebelum itu, perlu diketahui lebih dahulu syarat-syarat kelayakan STR:
- Kategori Isi Rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Kategori Warga Emas Tiada Pasangan
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
- Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
- Kategori Bujang
- Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
- Had umur adalah 21-59 tahun; dan
- Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
- Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
- Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
Bagi SARA, penerimanya perlu menepati syarat-syarat kelayakan khusus berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Kadar Bantuan SARA
Bagi tahun 2024, kadar bantuan SARA ditetapkan sebanyak RM1,200 (isi rumah dan warga emas) dan RM600 (bujang). Pembayaran bantuan ini pula dibuat dengan dua kaedah utama iaitu bagi penerima di Semenanjung serta Sabah, Sarawak dan Labuan.
Untuk penerima di Semenanjung, pembayaran SARA dibuat secara kredit RM100 atau RM50 ke Kad Pengenalan (MyKad) penerima setiap bulan. Penerima kemudiannya boleh menggunakan MyKad masing-masing bagi membeli barangan keperluan harian di lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Manakala, penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, pembayaran SARA akan dibuat seperti mana bayaran STR iaitu sama ada secara kredit terus ke akaun penerima atau pengambilan tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pembayarannya dibuat sebanyak dua kali iaitu pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024.
Semakan Status SARA
Semakan status kelulusan SARA boleh dibuat secara atas talian (online) di Portal Rasmi STR dengan tatacara berikut:
- Layari Portal Rasmi STR;
- Klik log masuk MySTR;
- Masukkan Nombor MyKad Pemohon;
- Pengesahan Kata Kunci Keselamatan;
- Masukkan Kata Laluan;
- Klik Semakan Status;
- Maklumat yang akan dipaparkan:
- Status Permohonan
- Maklumat Pembayaran (Jika Ada)
Selain itu, penerima SARA yang layak juga akan menerima surat lulus STR 2024 bersekali kelayakan SARA kepada alamat berdaftar dalam permohonan STR.
Untuk maklumat lebih lengkap dan teliti berkenaan STR, sila rujuk di Portal Rasminya – DI SINI.