Pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersetuju majikan memberikan cuti kepada pekerja untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, pemberian cuti itu bukanlah satu kewajiban bagi majikan, sebaliknya majikan hanya digalakkan memberikan cuti berkenaan kepada pekerja masing-masing.
Ini kerana, menurut Menterinya, Datuk Seri M Saravanan – pihak kerajaan tidak dapat memberikan cuti khas kepada pekerja disebabkan bukan semua orang mengambil vaksin berkenaan pada hari yang sama.
Namun baginya, pemberian cuti itu sedikit sebanyak akan dapat meyakinkan lagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksinasi kerana masih terdapat anggota masyarakat yang bimbang untuk menerima suntikan berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ada mengemukakan beberapa syor kepada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bersama KSM, yang antara lainnya menyarankan atau mewajibkan majikan memberi cuti kepada pekerja untuk mendapatkan vaksin mereka.
Dalam perkembangan sama, dilaporkan bahawa pendaftaran program imunisasi Covid-19 sehingga kini masih di tahap rendah, dengan menyaksikan Terengganu, Kelantan dan Sabah sebagai negeri yang merekodkan kadar pendaftaran terendah.
Oleh itu, rakyat Malaysia adalah sangat digalakkan untuk mendaftar ke program imuninasi tersebut bagi mencapai sasaran 70 peratus sebelum hujung tahun ini.
Pendaftarannya juga sangat mudah iaitu hanya melalui aplikasi MySejahtera di telefon pintar masing-masing. Panduan pendaftaran di aplikasi berkenaan boleh didapati DI SINI.
Sumber: Berita Harian.
_____
Dapatkan pelbagai lagi maklumat terkini dan kekosongan jawatan lebih pantas dengan menyertai saluran Telegram kami di: https://t.me/berikerja2021