Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri.
Antaranya adalah melalui bantuan-bantuan di bawah Belanjawan 2024 seperti mana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat tahun lalu. Ini adalah maklumat lanjut berkenaan bantuan itu: –
Bantuan RM150 diberikan tanpa had pendapatan
Salah satu bantuan kewangan yang ada di bawah Belanjawan 2024 adalah Bantuan Awal Persekolahan atau BAP. Bantuan ini pada asasnya merupakan sumbangan kewangan yang bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan.
Ia diberikan dengan kadar sebanyak RM150 secara sekaligus atau ‘one-off’ kepada semua murid sekolah rendah (Tahun 1 hingga Tahun 6) dan murid sekolah menengah (Tingakatan 1 hingga Tingkatan 5).
Menariknya, pihak Kerajaan memberikan bantuan ini kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa atau penjaga. Oleh itu, sekiranya sesebuah keluarga itu memiliki lima orang anak yang sedang bersekolah – maka jumlah keseluruhan BAP yang diterima adalah sebanyak RM750.
Pelaksanaan Bantuan
Untuk makluman, pembayaran bantuan ini telah pun dibuat kepa semua murid yang layak pada bulan Januari 2024 lalu. Manakala, bagi murid yang memasuki Darjah 1 tahun ini, pembayaran BAP akan mula dibuat pada 10 Mac 2024.
Cara pembayaran pula adalah secara tunai atau dikreditkan ke akaun murid. Dianggarkan lebih 11 ribu sekolah terlibat dan sekitar 4.6 juta orang murid layak menerima bantuan tunai ini.
Secara lebih jelas, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 hendaklah dari sekolah-sekolah berikut:
- Sekolah Kerajaan (SK)
- Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
- Sekolah Agama Rakyat/Negeri
- Sekolah Swasta yang berdaftar dengan kerajaan (kecuali sekolah antarabangsa dan ekspatriat)
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
- Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti
- Maktab Rendah Sains MARA
- Maktab Tentera Diraja
Dijangkakan, bantuan ini akan sekali lagi diumumkan pelaksanaan di bawah Belanjawan 2025 nanti. Akan tetapi, maklumat secara rasmi hanya akan diketahui ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024.
Apa yang pasti, di bawah Belanjawan 2024 – pihak Kerajaan telah memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid sehingga Tingkatan 3 berbanding sehingga Tingkatan 1 sebelum ini di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.
Untuk meningkatkan penyertaan bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah, pihak Kerajaan bersetuju menubuh Jawatankuasa Khas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) rentas kementerian untuk menetapkan sasaran serta langkah yang sebaiknya.
Kerajaan juga menambahbaik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) menerusi bekalan susu harian kepada pelajar sekolah, meluaskan skop penerima dan menaikkan kadar bekalan susu harian.
Mulai tahun 2024, Kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 ringgit sebelum ini. Peluasan syarat ini akan memberi peluang kepada tambahan 35 ribu lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.
“Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan 3 berbanding sehingga tingkatan 1 sebelum ini. Keseluruhannya, 1 juta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM150 juta…
Kerajaan akan terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas. 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta. Ini antaranya melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis,” petikan ucapan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024.